Rabu, 21 Jun 2017

RAMADHAN: BULAN BONUS UMAT ISLAM

Image result for ramadan 2017

Bulan ramadhan  adalah "Syaidul Syuhur"  iaitu penghulu bulan. Apabila ia disebut sebagai penghulu, maka bererti ia melebihi dari bulan-bulan yang lain dari sudut fadhilat dan kelebihannya. Di dalam Al-Quran ia disebut secara terang dan jelas berbanding bulan-bulan yang lain. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
"Bulan ramadhan yang  diturunkan al-Quran padanya, dimana al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan yang membezakan antara hak dan batil "
Dalam bulan ramadhan terdapat banyak amalan-amalan yang tiada pada bulan lain malah digandakan pahalanya lebih dari bulan-bulan yang lain. Tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa bulan ramadhan ini ialah bulan mendapat bonus dari Allah s.w.t. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya yang bukan hanya satu bonus yang ditawarkan malah sangat banyak dan berlipat kali ganda pula. Penjawat awam dapat duit raya setakat RM500 dan di Pulau Pinang RM 400. Kalaulah gaji seseorang RM3,000 maka sebenarnya kadar bonus RM500 itu hanya sekadar 1/6 dari gaji tidak sampaipun sekali ganda. Itupun kalau kita tak dapat heboh seluruh dunia.
Ini pula bonus Allah s.w.t yang akan kita dapat di negeri yang kekal abadi, Apakah kita tidak mahu merebutnya? Amalan yang sunat dibulan ramadhan adalah sama dengan ganjaran amalan wajib. Antara amalan yang terdapat pada bulan ramadhan yang tidak terdapat pada bulan lain ialah puasa, zakat fitrah,  kelebihan beramal pada lailatul kadar dan solat tarawih. Allah s.w.t memberikan ganjaran kepada hambanya bagi satu amalan yang baik ialah dengan 10 pahala ( 10 kali ganda ) sehingga kepada 700 pahala dan lebih dari itu. Di dalam Al-quran Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah  ayat 261      :
"Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui "
Maknanya satu amal kebajikan Allah beri bonus paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda dan lebih lagi . Contohnya mereka yang melakukan ibadat di Masjidil Haram Makkah akan diganjar dengan 100,000 ganjaran. Bayangkan jika dilakukan pada bulan ramadhan. Mana ada Syarikat di dunia ini yang boleh beri kita bonus sebanyak itu. Malah Multi Level markerting (MLM) pun tidak dapat memberi pulangan dan kelebihan sebesar itu.
Lailatul qadar diberi oleh Allah s.w.t pada bulan ramadhan dengan pahala yang lebih baik dari seribu bulan. Bayangkan kalau 1000 bulan dijadikan tahun, maka jumlahnya ialah 83 tahun 3 bulan. Umur manusia akhir zaman pun kebanyakan tidak akan sampai ke tahap itu sebagaimana disebutkan oleh nabi s.a.w:
"Umur umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun"
 Allah s.w.t menyatakan di dalam Surah al-qadr :
"Sesungguhnya kami telah menurunkan al-quran pada malam qadar. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam qadar itu?. Malam Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka,untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar"
Membaca al-Quran misalnya diganjar oleh Allah s.w.t pada setiap huruf yang dibaca dengan satu kebajikan dan seterusnya digandakan dengan 10 kebajikan. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu digandakan denga sepuluh. Aku tidak mengatakan : Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf"
Orang yang bersedekah pada bulan ramadhan juga diganjar pahala yang berlipat ganda sebagaimana rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Sesiapa yang bersedekah menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala sebanyak mana orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi pahala mereka"
Maka apakah kelebihan dan tawaran yang dioffer oleh Allah s.w.t pada bulan ramadhan ini kita tidak berlumba-lumba untuk merebutnnya. Lu fikirlah sendiri..

Disediakan oleh:

Haji Khairuddin bin Haiyon
Penolong Pengarah
Bahagian Dakwah
(Unit Penerangan dan Penerbitan)

Catatan Popular